Isu kecoh di KLIA: Ejen wanita warga China yang gagal masuk ke Malaysia kini 'hilang'

Tarikh: 10/08/2023
img

PUTRAJAYA: Ejen kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, kini gagal dikesan.

 

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengarahkan siasatan kes terbabit dilengkapkan.

 

Kata Azam, perkara itu juga sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat kajian dan melihat kepada sebarang unsur jenayah berdasarkan hasil siasatan.

 

"Saya ingin katakan juga, kerana masih lagi orang tak percaya kepada SPRM yang mengatakan dua saksi itu sudah balik ke China.

 

"Tapi kalau ada yang boleh tunjukkan di mana saksi itu, kami bersedialah. Sebab ramai pandai-pandai kat luar tu kata saksi itu ada di Malaysia...jadi tunjuklah kepada kami," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Body-Worn Camera (BWC) dan Vest SPRM, di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

 

Tambahnya, SPRM sudah melakukan memeriksa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sistem menunjukkan bahawa mereka sudah meninggalkan negara.

 

Sebelum ini, Tiong mendakwa, wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai JIM di pintu masuk negara di KLIA.

 

Tiong mendedahkan perkara itu selepas mengakui dirinya adalah individu yang terbabit dalam insiden kekecohan di KLIA, selepas dikatakan cuba 'melepaskan' kemasukan seorang wanita warga China yang dilarang memasuki negara ini oleh pegawai Imigresen.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui budaya rasuah masih berlaku dalam kalangan penguat kuasa tetapi hanya membabitkan segelintir mereka di KLIA.

 

 

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel