Jangan keluarkan fatwa baharu, rasuah tetap haram -Ayob Khan

Tarikh: 29/09/2023
img

CYBERJAYA: “Jangan keluarkan fatwa baharu. Dalam apa keadaan sekali pun, kita tidak boleh makan rasuah,” kata Timbalan Ketua Polis Negar, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, apa sahaja terma yang ditakrifkan sama ada sedekah atau derma namun, jika ia terkait amalan rasuah ia tetap haram

“Tak payahlah kita nak bagi fatwa lain. Ini derma ini sedekah, tiada derma tiada sedekah dan haram tetap haram,” katanya ketika berucap pada Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di sini, hari ini. Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti dan mana-mana individu yang terbabit dalam amalan rasuah akan ditangkap, dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan tatatertib.

Ayob berkata, isu integriti perlu diberikan keutamaan paling tinggi oleh setiap penjawat awam barulah isu-isu lain berkait rasuah dan salah guna kuasa dapat diatasi.

Menurutnya, setiap penjawat awam juga perlu tegas, berani dan konsisten dalam setiap tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan.

“Penjawat awam jika cukup 60 tahun sudah pencen. Apabila sudah pencen, jangan bising lagi…duduk rumah jaga cucu.

“Sekarang ini kita ada kuasa dan kedudukan, kita laksana tanggungjawab itu dan jangan takut. Tiada apa yang perlu ditakutkan,” katanya.

Katanya, beliau memuji ketegasan dilakukan negara jiran, Singapura dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa malah, ketegasan itu yang meletakkan Singapura pada tahap sekarang.

Dalam pada itu, Ayob berkata, beliau juga mahu pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dilakukan bagi menanggani isu dadah secara menyeluruh.

“Kalau mahu tangani sindiket dadah, kita kena guna Sosma barulah boleh tangkap keseluruhan sindiket. Barulh sindiket besar boleh diatasi dan dibanteras,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia

MACC FM
My Anti-Corruption Channel