Jangan pandang ringan dakwaan pegawai PBT lindung penjaja warga asing

Tarikh: 29/08/2024
img

Ampang: Pihak berkuasa berkaitan diminta menyiasat dakwaan salah guna kuasa serta rasuah membabitkan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa melindungi penjaja warga asing.


Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Ampang (Peka), Ayob Abdul Majid berkata, dakwaan lambakan warga asing memonopoli perniagaan, di sini yang tular, baru-baru ini perlu dipandang serius.


Menurutnya, siasatan harus dijalankan terutama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


"Siasatan ini perlu untuk memastikan adakah tuduhan ini benar berlaku dalam kalangan warga Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan peniaga berlesen atau hanya sekadar fitnah.


"Jika terbukti ada penglibatan hasil daripada siasatan ini, Peka berharap tindakan segera terhadap pemberi, penerima rasuah dan peniaga berlesen yang terbabit disegerakan bagi membersihkan nama MPAJ," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan, MPAJ menafikan dakwaan berlaku salah guna kuasa dan rasuah membabitkan kakitangannya seperti yang ditularkan di media sosial, baru-baru ini.


MPAJ dilapor berkata, laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu dan menegaskan tohmahan yang dilemparkan adalah tidak berasas dan provokasi semata-mata.


Dalam klip video yang tular itu, sekumpulan individu bertekak dengan beberapa kakitangan MPAJ dipercayai berhubung isu kompaun.


Dalam video itu salah seorang individu mempertikaikan mengapa dirinya sebagai warga tempatan dikompaun dan mendakwa ada peniaga warga Thailand yang terlepas.


Kelihatan kakitangan MPAJ cuba menjelaskan perkara itu kepada kumpulan berkenaan, namun keadaan bertukar tegang selepas individu terbabit mendakwa kakitangan MPAJ meminta 'duit kopi' daripadanya.



Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel