JTK tingkat keberkesanan pengurusan tatakelola - KSN

Tarikh: 26/11/2025
img

Putrajaya: Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional (JTK) terus memainkan peranan sebagai platform utama dalam memantau serta menyelesaikan isu tatakelola secara lebih teratur dan berfokus.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, hasil pemantauan berkala oleh JTK terhadap penyelesaian Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) sejak mesyuarat JTK Siri 2 Bil. 2 Tahun 2024 berjaya mengurangkan tunggakan laporan tahun 2023 dan ke bawah sebanyak 83 peratus daripada 540 kes yang dilaporkan pada mesyuarat JTK tahun lalu.

"Selain itu, sebanyak 163 daripada 245 LSPRM bagi 2024 (67 peratus) dan sembilan daripada 121 LSPRM bagi 2025 (lapan peratus) juga telah berjaya diselesaikan.

"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan JTK sebagai platform pemantauan dan penyelesaian isu tadbir urus secara berfokus dan berkesan," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JTK Siri 6 Bilangan 3 Tahun 2025 di Dewan Persidangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan Demerit Performance Evaluation atau Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang menjadikan penyelesaian LSPRM sebagai salah satu kriteria dalam menilai prestasi kementerian, jabatan dan agensi.

"Usaha penambahbaikan perlu dilaksanakan secara konsisten, termasuk cadangan supaya kementerian atau agensi yang gagal melaksanakan penambahbaikan tadbir urus selepas melepasi tempoh 12 bulan dikenakan demerit tambahan sebagai langkah memastikan tindakan segera diambil," katanya.

Dalam mesyuarat sama, Shamsul Azri turut mengesyorkan supaya SPRM mengetuai satu pasukan khas khusus bagi memperkukuh kawalan terhadap pengimportan sisa plastik ke dalam negara yang akan turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi.

"Ini adalah selaras dengan usaha meningkatkan integriti serta pematuhan peraturan berkaitan pengurusan sisa," katanya.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata, Malaysia akan menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) pada 5 Disember depan, dengan tema, 'Bersama Perkhidmatan Awam MADANI Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Masa Hadapan'.


Sumber: Berita Harian metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel