KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi sebuah agensi negeri bergelar Datuk antara lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penjualan tanah kerajaan dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran dan menyebabkan kerugian sehingga RM1.96 juta di Pulau Pinang.
Selain pengerusi terbabit, mereka yang ditahan itu ialah dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita.
Semua mereka dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan kuasa bagi urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.
Sumber berkata, suspek pertama bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi agensi terbabit dan juga Ahli Lembaga Pengarah.
"Suspek dipercayai meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
"Suspek juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terbabit meluluskan penjualan tanah itu pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta," kata sumber, di sini, hari ini.
Sumber berkata, semua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an itu ditahan secara berperingkat kira-kira jam 11 pagi hingga 12 tengah hari semalam, di pejabat SPRM Pulau Pinang.
"Semua mereka akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Georgetown, pagi ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sumber ; Berita harian Online