Juru ukur bahan ditahan terima rasuah wang, motosikal

Tarikh: 16/10/2023
img

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang juru ukur bahan di sebuah universiti di Terengganu kerana dipercayai menerima rasuah wang dan sebuah motosikal yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM30,000.

Difahamkan, suspek terbabit menerima sebuah motorsikal Yamaha Y15Z dan wang daripada wakil sebuah syarikat sebagai balasan mengesyorkan kerja-kerja pengubahsuaian bernilai RM3 juta.

Sumber berkata, wang tunai itu juga didakwa diterima bagi tujuan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan kerja syarikat terbabit.

Kata sumber lagi, suspek lelaki yang berusia 50-an itu ditangkap di pejabat SPRM Terengganu pada jam 1 tengah hari ketika hadir memberi keterangan.

"SPRM juga turut berjaya menyita motosikal terbabit pada hari yang sama dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan siasatan menyeluruh akan dijalankan," katanya.

Berita: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel