Kuala Lumpur: Tindakan jurujual warga asing disyaki cuba menawarkan rasuah RM400 kepada seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premisnya mengundang padah apabila ditahan semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an ditahan sekitar jam 9 malam selepas dibawa oleh penguat kuasa DBKL berkenaan ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati sebuah farmasi di rumah kedai dua tingkat sekitar Kuala Lumpur beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing.
"Semasa pemeriksaan dibuat terhadap premis itu, penjaga premis yang juga warga asing gagal mengemukakan lesen perniagaan dari DBKL dan suspek dipercayai menawarkan RM400 kepada seorang penguat kuasa DBKL supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis itu," katanya.
Susulan itu SPRM, hari ini menahan reman jurujual itu kerana disyaki menawarkan rasuah supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premisnya.
Perintah reman selama empat hari sehingga 14 Ogos ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro