Kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang didakwa guna harta lebih RM141,000

Tarikh: 30/03/2026
img

JOHOR BAHRU: Kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 16 pertuduhan dengan curang menggunakan harta milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur sebanyak RM141,872.67, sejak lima tahun lalu.

Muhammad Faiz Ibrahim, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi dan juga Pengurus Ladang PPK Kota Tinggi Timur, didakwa dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri, hasil penjualan Buah Tandan Segar (BTS) Sawit keseluruhannya bernilai RM141,872.67 kepunyaan Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang, Mawai Baru, Kota Tinggi, antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi 16 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta yang diamanahkan kepadanya iaitu BTS sawit yang keseluruhannya berjumlah RM141,872.67 milik pertubuhan itu untuk kegunaan sendiri dengan menjual buah berkenaan dan memasukkan hasil jualan ke dalam akaun miliknya.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi dan waktu yang sama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling menawarkan jaminan sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun peguam Asiah Abd Jalil, memohon jaminan RM10,000 dengan alasan anak guamnya sudah berkhidmat dengan LPP sejak 2011 dengan pendapatan terkini RM4,000 sebulan dan menanggung ibu bapa, selain sentiasa memberi kerjasama dengan SPRM .

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 April depan bagi serahan dokumen.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel