Kakitangan MBMB didakwa terima suapan

Tarikh: 26/07/2024
img

MELAKA: Seorang penolong pegawai tadbir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang bernilai RM2,700 daripada pengurus sebuah syarikat pengiklanan.

Prosiding kes itu didengar Hakim Elesabet Paya Wan, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Ab Aziz, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Tadbir (Kompetensi) Gred N29 yang bertugas di MBMB didakwa menerima untuk dirinya wang tunai RM2,200 tanpa balasan pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong dengan mengetahui penama dan syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan itu dengan menerima wang tunai RM500 daripada Ah Siong tanpa balasan melalui anak penama, Ong Wei Yin dengan mengetahui perkara itu ada hubungan dengan kerja rasminya di MBMB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di daerah Melaka Tengah, masing-masing pada 27 Oktober 2021 dan antara 15 hingga 31 Januari 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 Ogos depan.


Sumber Berita HarianĀ 


MACC FM
My Anti-Corruption Channel