Kalau ada pakai BMW, sila siasat!

Tarikh: 06/03/2023
img

Putrajaya: "Saya tahu ada (kakitangan penguat kuasa laut) 'panas punggung' dengan tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'mengutip' individu terkait rasuah. Namun ia amanah diberi kepada kami untuk memerangi jenayah ini," ujar Pengarah Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman.

Beliau berkata, Op Tunda bagi memberkas anggota dan pegawai agensi Jabatan Perikanan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit rasuah akan diteruskan.

Menurutnya, tindakan diambil SPRM sebahagian usaha meningkatkan integriti dan tadbir urus jujur dalam kalangan penjawat awam termasuk agensi penguatkuasaan.

"Setiap anggota penguat kuasa kuasa perlu muhasabah dan utamakan integriti. Jika amalan ini tidak dibendung, ia akan merosakkan seluruh organisasi hingga menyebabkan perkhidmatan awam dipandang hina masyarakat.

"Selagi ada ruang dan peluang, rasuah akan terus berlaku. Di sini pentingnya kekuatan diri dan integriti anggota dalam menolak rasuah," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, melalui Op Tunda SPRM dilakukan di utara tanah air sejak Isnin lalu, 11 anggota dan pegawai pelbagai pangkat ditahan reman untuk siasatan SPRM.

"Ada antara mereka mula menerima rasuah dari 'tauke' bot nelayan dan pemilik sangkar ikan sejak 2015 lagi. Ini amat serius.

"Tindakan ambil rasuah ini membawa kesan lebih buruk apabila penggunaan pukat tunda atau pukat gading oleh nelayan mengakibatkan kemusnahan besar kepada eko-sistem dan hidupan marin.

"Ini akhirnya menyebabkan hidupan laut sekitar perairan negara pupus, sekali gus menjejaskan jaminan bekalan makanan kepada rakyat. Begitu juga isu penggunaan pendatang haram sebagai pekerja di jeti nelayan atau sangkar ikan, ini akhirnya membawa kepada banyak implikasi buruk termasuk jenayah," katanya.

Beliau mencadangkan penggiliran tugas dalam kalangan penjawat awam terutama membabitkan jawatan sensitif di lokasi menjadi 'lubuk' rasuah dilakukan.

"Paling lama (bertugas) lima tahun. Mereka perlu ditukar ke tempat lain supaya amalan rasuah dapat dielak," katanya.

Menurutnya, ketua jabatan perlu memantau jika ada antara anggota bawahan hidup terlalu mewah hingga menimbulkan curiga.

"Jika ada yang pakai kereta BMW, motosikal Harley-Davidson, kerap bercuti ke luar negara sedangkan pendapatan di bawah RM5,000, maka perlu siasat.

"Begitu juga anggota yang ada masalah hutang serius. Ini menyebabkan golongan terbabit sanggup mengambil rasuah untuk melangsaikan hutang," katanya.

Ditanya berhubung perkembangan Op Tunda dilakukan SPRM, beliau berkata, pihaknya kini menumpukan siasatan dan pengambilan keterangan daripada 11 suspek yang ditahan reman.

"Ada antara mereka dikesan sebelum ini membocorkan maklumat operasi, sekali gus membolehkan nelayan pukat tunda atau ini tidak turun ke laut.

"Tidak dinafikan akan ada tangkapan lagi babitkan anggota penguat kuasa. SPRM akan terus memantau isu ini bagi memastikan kegiatan rasuah 'berkubur'. Tangkapan turut membabitkan pemberi rasuah dan proksi terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Harian Metro sejak 26 Februari lalu mendedahkan kegiatan pengambilan rasuah membabitkan tiga agensi penguat kuasa kerajaan terutama di utara tanah air iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Perlis selain pulau peranginan Langkawi.

Berdasarkan siasatan, rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pemilik sangkar ternakan ikan yang melakukan kesalahan antaranya beroperasi tanpa permit atau lesen tamat tempoh, menggunakan pukat tunda diharamkan.

Rasuah turut diberi pemilik atau tekong bot nelayan melakukan kesalahan menangkap ikan di luar kawasan zon dibenarkan selain pemilik sangkar ternakan ikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja.

DOF sokong penuh tindakan SPRM

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) tidak akan berkompromi dan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku rasuah membabitkan kakitangan perikanan.

Menurutnya kenyataan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perikanan Malaysia kepada Harian Metro, Jabatan perikanan menyokong penuh tindakan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengekang aktiviti rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Pihak DOF turut memandang serius pendedahan dan artikel dikeluarkan akhbar ini berhubung 40 kakitangan agensi penguat kuasa di laut yang terpalit rasuah Isnin lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah menjelaskan bahawa alat Pengesan Lokasi Individu (PLB) tidak diwajibkan untuk dimiliki setiap vesel atau kapal nelayan berdaftar.

Menurutnya, alat PLB ini hanya diperuntukkan DOF dan diserahkan kepada 150 vesel zon A sahaja pada tahun 2021 bertujuan membolehkan agensi penyelamat untuk mengenalpasti pemilik serta menghubungi waris terdekat jika berlaku kecemasan dan memulakan operasi carilamat.

Kata beliau lagi, penggunaan alat PLB secara sukarela dan DOF menggalakkan nelayan memiliki alat itu untuk keselamatan di laut.

"Sejak 2014 hingga kini, DOF hanya mewajibkan penggunaan Alat Pengesan Vesel (MTU/VTU) di atas vesel laut dalam zon C2 yang diluluskan Ketua Pengarah Perikanan.

"Alat ini hendaklah dipasang di atas vesel penangkapan ikan dan berfungsi setiap masa," katanya.


Sumber : Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel