KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu berhubung dakwaan wujud kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi dianggarkan bernilai RM1.8 bilion di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian .
Mengikut sumber SPRM, salah seorang daripada yang ditahan itu adalah suspek utama yang juga pengurus di bahagian promosi dan pemasaran sebuah pertubuhan pertanian.
Seorang lagi suspek adalah pengerusi syarikat warganegara asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh pertubuhan pertanian terbabit.
"Kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek utama menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terbbait untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan.
"Pengerusi pertubuhan pula memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa lakukan perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah," katanya.
Tambah sumber itu, siasatan awal juga mendapati kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari saja pada sekitar bulan Jun 2022.
"Sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan itu sebelum ini," katanya.
Sumber berkata, kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga 4 November ini untuk siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar, Syahrul Sazly Md Sain selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.
Setakat ini, tiga individu sudah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman bermula semalam sehingga 2 November ini.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.
Sumber: Berita Harian