Kartel tipu tuntutan PERKESO: 33 individu termasuk 3 doktor direman

Tarikh: 05/09/2024
img

GEORGETOWN: Seramai 33 individu termasuk dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Perintah reman terhadap tiga doktor itu dikeluarkan selama dua hari bermula hari ini oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara tempoh reman terhadap 29 orang awam yang terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan 'runner' pula dibenarkan selama tiga hari sehingga Jumaat ini manakala reman terhadap isteri kepada seorang ejen dibenarkan selama sehari.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua suspek berusia 26 hingga 60 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown di sini pada jam 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Menurut sumber, tiga doktor berusia 36 hingga 57 tahun itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya serta sebuah hospital swasta di Butterworth.

Katanya, baki tangkapan lain yang terdiri daripada 19 pekerja swasta, adalah pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga 'runner'.

"Kesemua suspek ditahan dalam satu operasi bermula jam 5 pagi hingga 9 malam kelmarin di sekitar negeri ini.

"Hasil siasatan mendapati kartel ini aktif dalam kegiatan itu sejak 2017 sehingga tahun ini dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM2.1 juta.

"Kebanyakan mereka membuat tuntutan palsu atas alasan kecederaan Ligamen Anterior Cruciate (ACL) dan mengalami masalah tulang rawan tergelincir (slip disc)," katanya.

Menurut sumber pemohon akan menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan manakala baki 50 peratus dibahagi antara doktor, ejen serta runner.



Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel