Kawalan sempadan mesti lebih pintar atasi kelicikan sindiket

Tarikh: 27/11/2026
img

KETIKA nilai rampasan keseluruhan di pintu masuk negara menerusi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) meningkat hampir empat kali ganda kepada RM322.74 juta sehingga Oktober lalu berbanding RM82.10 juta (2025), kita disajikan deretan berita mengenai kegiatan penyeludupan dadah, termasuk kejayaan membongkar sindiket menggunakan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pendedahan tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menerusi kemudahan tentera di Tawau dan Labuan sejak Ogos 2024 tentunya menimbulkan persoalan, berapa banyak lagi kegiatan penyeludupan terlepas daripada radar pihak berkuasa?

Hakikatnya, kita bukan berdepan dengan penjenayah kecil-kecilan, sebaliknya jaringan jenayah terancang transnasional memiliki sumber kewangan begitu besar, berkeupayaan memanfaatkan teknologi, membina rangkaian logistik serta merasuah individu dalam institusi penguatkuasaan. Operasi Lionfish-Mayag III diselaraskan Polis Antarabangsa (INTERPOL) membabitkan 18 negara, termasuk Malaysia tahun lalu sahaja menghasilkan rampasan dadah sintetik bernilai AS$6.5 bilion (RM26.8 bilion), sekali gus memberikan gambaran betapa besarnya skala ekonomi gelap dikuasai sindiket terbabit.

Malah, risikan diperoleh menerusi operasi susulan INTERPOL tahun ini mengesahkan rantau Asia Tenggara, khususnya wilayah Mekong, kekal sebagai pusat utama pengeluaran dadah sintetik dunia. Kedudukan geografi Malaysia serta jaringan pengangkutan dan perdagangan antarabangsa yang luas tentunya mendedahkan negara kepada risiko terus dieksploitasi sebagai hab transit, selain menjadi pasaran dadah itu sendiri.

Justeru, kerajaan perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, dron, pengimejan satelit serta sistem pengimbasan pintar, selain mewujudkan ekosistem perkongsian risikan masa nyata antara AKPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasaan lain.

Kerjasama dengan INTERPOL, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta pihak berkuasa negara jiran pula perlu dipertingkat daripada sekadar pertukaran maklumat kepada penyiasatan dan operasi bersama, termasuk pemburuan dalang serta pengesanan aset merentas sempadan.

Pada masa sama, kita mahu aspek integriti penguat kuasa diberikan keutamaan setara dengan pelaburan teknologi kerana secanggih manapun sistem keselamatan, ia boleh dilumpuhkan individu yang diberi amanah mengendalikannya. Audit keselamatan berkala termasuk di kemudahan strategik negara, tapisan integriti berterusan, pemantauan kekayaan luar biasa anggota serta perlindungan pemberi maklumat perlu menjadi sebahagian daripada mekanisme pertahanan dalaman.

Strategi membanteras dadah juga tidak boleh sekadar berorientasikan jumlah rampasan dan tangkapan, sebaliknya mesti menyasarkan keseluruhan ekosistem jenayah daripada pembiaya, dalang, pengubahan wang haram hingga rangkaian pengedaran domestik.

Dalam hal ini, kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan perlu diperkasakan untuk melumpuhkan sumber kewangan sindiket.

Kita boleh berbangga dengan peningkatan nilai rampasan, tetapi sindiket jenayah sebenarnya tidak pernah kekeringan taktik dan muslihat menjana laba, sekali gus dapat membeli pengkhianatan dan mengorek kelompangan baharu dalam sistem keselamatan negara.

Justeru, usaha memperkukuh kawalan sempadan tidak boleh ada titik noktah, sebaliknya perlu sentiasa dipertingkat, diperketat dan diperkasakan dengan strategi lebih pintar daripada muslihat sindiket.


Sumber; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel