PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) susulan kelemahan tatakelola yang dikesan di agensi itu sehingga membuka ruang rasuah yang mengakibatkan kerugian sehingga puluhan juta ringgit dana rakyat.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, yang berkata pelbagai permasalahan membabitkan tadbir urus yang baik perlu diperbetulkan di PERKESO susulan operasi tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.
Beliau berkata, setakat ini masih tiada penempatan pegawai di bawah program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM berada di PERKESO.
"Setakat ini tidak ada (pegawai integriti) tetapi selepas ini, PERKESO ada minta (selepas kes ini berbangkit) untuk ditempatkan seorang pegawai integriti dan saya akan hantar seorang dengan segera," katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.
Ditanya adakah tiada sebarang tindakan boleh dikenakan kepada mana-mana agensi kerajaan yang merugikan wang rakyat disebabkan kecuaian dan kelemahan tadbir urus, Abd Halim berkata, tindakan sedemikian adalah tanggungjawab agensi kerajaan itu sendiri.
"SPRM bukannya PERKESO, tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah memberi khidmat nasihat sekiranya mereka tidak mempunyai tatakelola, tidak mempunyai prosedur, tiada atur cara dan sebagainya, bagi meluluskan pinjaman."Maka SPRM akan hantar bahagian tatakelola ke PERKESO bagi membantu mereka menyediakan perkara berkaitan tatakelola," katanya.
Sementara itu, Abd Halim berkata, pihaknya akan mengesyorkan pertuduhan ke atas 69 kertas siasatan berkaitan dakwaan penyalahgunaan program insentif Daya Kerjaya 2.0, membabitkan individu, syarikat dan ejen yang dipercayai terbabit dalam skim berkenaan, selewat-lewatnya pada minggu pertama bulan depan.
"Kita mendapati terdapat asas mencukupi untuk mengesyorkan pendakwaan dalam kes berkenaan selepas siasatan dijalankan menerusi Op Daya.
"Namun dalam kes ini, fokus SPRM bukan saja mendakwa pihak bertanggungjawab, malah memastikan kelemahan dalam PERKESO yang membolehkan penipuan itu ditangani bagi mengelak penyalahgunaan pada masa depan," katanya.
Abd Halim berkata, siasatan Op Daya mendapati bagi tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 143 syarikat dipercayai mengemukakan permohonan palsu kepada PERKESO bagi mendapatkan insentif program Daya Kerjaya 2.0 membabitkan tuntutan kira-kira RM9 juta untuk 320 pekerja.
Beliau berkata, sehingga hari ini, SPRM membuka 81 kertas siasatan di seluruh negara.
Selain 69 kes disyorkan untuk pendakwaan, katanya, enam kertas siasatan dirujuk kepada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Tatakelola bagi meneliti kelemahan sistem serta prosedur kerja, khususnya membabitkan proses bayaran balik, manakala lima kes disyorkan supaya tiada tindakan lanjut diambil dan satu lagi siasatan masih diteruskan bagi mengesan sasaran utama.
Bulan lalu, SPRM mengenal pasti 1,638 syarikat disyaki mengemukakan tuntutan palsu di bawah program insentif pekerjaan Daya Kerjaya 2.0, dengan anggaran kerugian mencecah RM45 juta.
Operasi penguatkuasaan SPRM di seluruh negara menerusi Op Daya membawa kepada 97 tangkapan sejak siasatan bermula pada 9 Jun lalu.
Sumber : Berita Harian Online