KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelemahan aspek tatakelola dan amalan rasuah sistemik serta bermaharajalela, adalah antara isu pokok perlu ditangani segera sebelum kerajaan dapat menyelesaikan masalah struktural yang melemahkan ekonomi negara.
Perdana Menteri mengakui berulang kali menekankan isu rasuah kerana ia adalah barah utama yang melemah ekonomi negara serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat.
Apa lebih membimbangkan, tegasnya, isu berkenaan berlaku di setiap peringkat tanpa mengira mereka yang berjawatan tinggi atau berpangkat rendah, sekali gus membebankan rakyat untuk melayan kerenah golongan yang mengaut komisen sebelum memberi sebarang kelulusan.
"Tahun pertama lagi saya tegaskan keperluan menghentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan dan ia kini beralih kepada sistem tender terbuka.
"Sekian lama rundingan terus tidak telus membazirkan wang rakyat dan terdedah kepada rasuah. Ini sudah dihentikan," katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.
Anwar berkata, ada dalam kalangan rakyat yang membangkitkan mengapa kerajaan tidak menghukum pelaku jika benar rasuah masih bermaharajalela.
"Siasatan masih diteruskan, ada jalur hukum dan proses mahkamah dan yang penting amalan ini mesti dihentikan kerana proses undang-undang mengambil masa dan kadang kala melelahkan.
"Saya sendiri seperti ramai rakan-rakan, rasa tidak sabar mengapa amalan lalu yang mengaut kekayaan menimbun tidak dikenakan tindakan.
"Serahkan kepada agensi penguatkuasaan serta pendakwaan dan akhirnya badan kehakiman (untuk menentukan)," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan mencampuri proses kehakiman dan memberi ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara.
Katanya, peranan Jabatan Audit Negara juga perlu diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik.
"Hal ini kita tekankan untuk mendapat dukungan dan bertindak dengan begitu tegas dan baik serta menjalin perkhidmatan awam yang lebih teratur, bersih daripada rasuah, kelembapan dan kemalasan.
"Mungkin ada yang memandang remeh dan anggap ini sebagai slogan politik, tetapi akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah.
"Yakinlah dan Insya-Allah, kita dapat banteras sekiranya kita bertindak secara konsisten, berani dan tegas (melawan rasuah) daripada peringkat tertinggi sehinggal serendah-rendahnya," katanya.
Walaupun ada yang menganggap ia hanya slogan politik, Perdana Menteri menyifatkannya perkara biasa dalam percaturan politik dan meluahkan keyakinan isu rasuah dapat diselesaikan jika dibanteras secara konsisten dan tegas.
Jelas Anwar, perkara itu dapat dilihat dalam tender terbuka projek Rancangan Tebatan Banjir yang mampu jimat wang rakyat sehingga RM2 bilion.
Selain itu, katanya, sindiket penyeludupan di pintu masuk negara oleh sekelumit kecil pegawai awam berjaya ditumpaskan yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula, katanya, melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan manakala kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.
"Apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita? Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat," katanya.
Sumber : Berita Harian