KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin hari ini, dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dan membekukan akaun bank mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman membenarkan permohonan keluarga Allahyarham selepas mendapati mereka yang bertindak selaku pemohon berjaya melepasi 'ambang' bagi kebenaran itu diberikan.
Beliau berkata, pemohon sudah menunjukkan bahawa SPRM bertindak (dalam menyita akaun) walaupun mengetahui tempoh untuk penyitaan mengikut Akta SPRM sudah tamat, dan bahawa tiada kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Peguam, Datuk Dr Guardial Singh Nijar yang mewakili keluarga Allahyarham Daim, ketika ditemui selepas prosiding berkata, hakim bersetuju dengan hujahan pihaknya bahawa permohonan itu tidak berniat jahat (mala fide).
"Dalam permohonan ini kami menyatakan siasatan SPRM berniat jahat kerana sehingga kini masih tiada kertas siasatan membabitkan kes pengubahan wang haram," katanya.
Gurdial dalam hujahan Oktober lalu, menyatakan pihaknya sudah membuktikan pada peringkat prima facie bahawa terdapat isyarat yang jelas di mana SPRM selaku responden menyalahgunakan kuasa mereka.
Oleh itu, katanya, menjadi tanggungjawab responden untuk memberikan justifikasi terhadap tindakan itu di mahkamah kerana terdapat isu yang boleh dipertikaikan yang memerlukan hujahan lanjut oleh pihak-pihak pada peringkat substantif.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan bagi pihak Peguam Negara, bagaimanapun menghujahkan, perkara pokok iaitu tindakan pembekuan akaun bank berkenaan tidak tertakluk kepada prosiding semakan kehakiman.
Beliau berkata, dakwaan pemohon pada asasnya hanyalah aduan bahawa pembekuan akaun bank dibuat tanpa asas dan siasatan terhadap mereka bermotifkan politik dan dicemari niat jahat.
Pada 25 September tahun lalu, Allahyarham Daim, isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, empat anak mereka dan 18 syarikat telah memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan SPRM ke atas akaun bank mereka.
Selain SPRM, responden lain ialah Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Harta SPRM Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan kerajaan Malaysia.
Mahkamah Tinggi kemudian pada 5 Februari lalu, membenarkan permohonan Na'imah untuk mewakili arwah suaminya dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Sementara itu pada 6 Jun lalu, mereka turut memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah membatalkan tindakan SPRM yang menyita aset alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Sumber: Berita Harian Online