KUALA LUMPUR: "Kena la fikir panjang dan jauh sedikit," pesan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada anggota perkhidmatan awam jika berdepan sebarang situasi yang mencabar integriti dalam melaksanakan tugas, terutama rasuah. Mengimbau kisah dua anggota polis di Rompin, Pahang yang tekad menolak rasuah walaupun dijanjikan habuan RM500,000 sehingga membawa kepada tumpasnya sindiket dadah paling dikehendaki pada 2009, Mohd Zuki berkata, sikap itu perlu dijadikan pengajaran kepada anggota perkhidmatan awam untuk sentiasa kekal berintegriti.
"Apabila ditanya oleh pemberita kepada kedua-dua anggota itu, apakah yang mendorong mereka untuk tekad menolak rasuah, mereka menjawab "kami fikir panjang dan jauh sikit sebelum melakukan sesuatu yang salah kerana kami nak bekerja lama dalam pasukan sehingga tamat perkhidmatan,".
"Justeru, apabila kita diuji dengan keadaan seperti ini atau berhadapan dengan situasi yang mencabar integriti kita, perkara yang perlu dilakukan adalah fikir panjang dan jauh sedikit.
"Selain itu, sentiasalah beringat, walaupun tiada siapa nampak perbuatan kita, Allah SWT sentiasa maha melihat. Maka, jika kita senang hasil perbuatan yang salah, ia tidak sama sekali sebenarnya ada keberkatan dan akhirnya akan memberi impak yang buruk kepada kehidupan kita atau mungkin keturunan kita," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata demikian ketika berucap melancarkan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 dengan tema "Integriti Citra Malaysia MADANI" di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Nor Yahati Awang.
Mohd Zuki berkata, Kerajaan MADANI terus komited untuk membanteras rasuah dan meningkatkan integriti serta tata kelola baik, dan ia terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.
"Saya yakin, kita semua berupaya untuk mencapai hasrat ini, dengan syarat semua pihak berganding bahu, bekerjasama sebagai satu entiti yang utuh dan tidak silo dalam melaksanakan strategi yang diatur," katanya.
Beliau berkata, sambutan Bulan Integriti Nasional adalah manifestasi untuk menzahirkan komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dan tata kelola, bukan saja di sektor awam, malah merangkumi sektor korporat dan masyarakat keseluruhan.
Sumber: Berita Harian