KUALA LUMPUR: Kepimpinan yang menunjukkan teladan serta pendirian tegas terhadap jenayah rasuah dan salah guna kuasa mampu membentuk budaya integriti dalam sesebuah pertubuhan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, berkata pendekatan 'tone from the top' (nada dari atas) memainkan peranan penting dalam memastikan aspek integriti dan tata kelola pertubuhan terus diperkukuh.
"Kepimpinan tertinggi perlu menunjukkan teladan, komitmen serta pendirian tegas terhadap pematuhan, tadbir urus baik dan penolakan terhadap sebarang perlakuan jenayah rasuah serta salah guna kuasa.
"Melalui tindakan ini, akhirnya mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat dan pihak berkepentingan," katanya dalam Program Dialog Pemantapan Integriti dan Tatakelola Dalam Perolehan bersama PNB Merdeka Ventures di sini, hari ini.
Antara panel program dialog itu termasuk Mohamad Zakkuan sendiri, dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Hasli Ibrahim dan moderator, Ketua Bahagian Tatakelola PNB Merdeka Ventures, Suzana Ahmad.
Katanya, perkongsian ilmiah daripada barisan panel memberi penekanan terhadap kepentingan pemerkasaan integriti, tadbir urus korporat serta pematuhan prosedur perolehan yang telus dan bertanggungjawab dalam pertubuhan.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai risiko rasuah, konflik kepentingan serta langkah pencegahan bagi memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan secara beretika dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan PNB Merdeka Ventures dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah serta membudayakan integriti dan tadbir urus yang baik dalam sektor korporat.
Sumber : Berita Harian Online