Keputusan kes pengubahan wang haram bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, hari ini

Tarikh: 19/05/2026
img

KOTA KINABALU: Selepas hampir sedekad, mahkamah dijangka mengeluarkan keputusan berhubung kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah yang dikaitkan dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), hari ini.

Kes itu menjadi tajuk utama pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan antara rampasan terbesar pernah direkodkan di Sabah membabitkan barangan berharga dan wang tunai berpuluh-juta ringgit.

Imej timbunan wang tunai dalam bilik dan bertaburan atas lantai yang tersebar meluas di media tempatan ketika itu menjadikan siasatan berkenaan antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di negara ini.

Tiga individu iaitu bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, isterinya, Fauziah Piut, 61, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, didakwa pada 28 Disember 2016 dengan ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir mengikut peruntukan sama, manakala Ag Mohd Tahir menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan.

Kesalahan yang didakwa membabitkan Ag Mohd Tahir dan isterinya itu dikatakan dilakukan di pejabatnya di sini, sebuah kondominium di Sembulan, cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman serta sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lam Beng pula berdepan empat pertuduhan kerana didakwa memiliki sebuah Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram di pejabat SPRM, Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat.

Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang pada awalnya ditawarkan pihak pendakwaan seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lam Beng pula diwakili peguam Tan Hock Chuan, Baldev Singh serta Kelvin Wong.

Untuk rekod, bekas Timbalan Pengarah JANS, Teo Chee Kong sebelum itu mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.923 juta pada 13 Disember 2016.

Beliau pada awalnya dijadual dibicarakan bersama tiga tertuduh lain.

Bagaimanapun, Chee Kong dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada 17 Mac 2022 sebelum menjadi saksi pendakwaan dalam kes terhadap ketiga-tiga tertuduh itu.

Pada 18 Februari 2022, Chee Kong diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap semua 146 pertuduhan sebelum SPRM kemudian mengenakan kompaun RM30 juta terhadapnya.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel