Kerani ditahan kemuka dokumen palsu tuntutan kad kredit syarikat RM55,000

Tarikh: 17/07/2025
img

SEREMBAN: Seorang kerani di sebuah syarikat pelancongan di ibu negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan kad kredit, malam tadi.

Sumber berkata, wanita berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

"Kami menahan reman wanita itu kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.

"Suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari Mac 2023 hingga Februari 2024," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Terdahulu, perintah tahanan reman ke atas suspek sehingga 22 Julai depan dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber BHO


MACC FM
My Anti-Corruption Channel