Kerani JPS Mersing hadapi enam pertuduhan salah guna jawatan

Tarikh: 17/04/2023
img

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan, Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.


Berdasarkan pertuduhan, dia yang bertugas sebagai kerani di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Mersing didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise yang

keseluruhannya berjumlah RM13,480.20 menerusi dokumen Borang Kajian Pasaran yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.


Sebut harga berkenaan untuk melaksanakan pembekalan bagi alat-alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.


Ibu kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat JPS Daerah Mersing antara Ogos 2020 hingga November 2020.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000, namu peguam, Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang lebih rendah.


“Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun selain turut menanggung ibu bapanya dan kini digantung kerja. Tertuduh juga sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000,” katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin,  pasport antarabangsa diserah ke mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 16 Mei ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. 


Sumber: Utusan Malaysia


Dia didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel