Kerani Pejabat Kesihatan Port Dickson hadapi 24 tuduhan rasuah

Tarikh: 25/05/2023
img

SEREMBAN: Seorang pembantu tadbir di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 24 tuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki bagi penawaran kerja pembaikan kenderaan jabatan di antara 2018 hingga 2020.

 

Tertuduh, Norashikin Mohamed Hussin, 37, yang hadir di mahkamah dengan memakai niqab dan berjubah hitam, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian Operasi) Gred N19 di PKD Port Dickson, bersetuju menerima suapan daripada seorang lelaki berjumlah keseluruhan RM18,363.

 

Suapan itu adalah sebagai upah kerana menawarkan kerja pembaikan kenderaan jabatan milik PKD Port Dickson di dalam sistem e-Perolehan (Pelawaan Tawaran Harga) kepada syarikat yang diurus lelaki berkenaan.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di antara 4 Disember 2018 hingga 8 Julai 2020 mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

 

Jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

 

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan kerana bersetuju menerima wang RM300 tanpa balasan daripada lelaki sama, yang diketahui tertuduh mengetahui lelaki itu adalah pemilik syarikat yang terbabit dalam kerja pembaikan kenderaan PKD Port Dickson.

 

Wanita itu turut didakwa atas pertuduhan mengesahkan dokumen yang mempunyai butiran palsu iaitu dokumen pembekalan pembaikan turbo Charger Unit Vektor NBS 564 Nissan Frontier berjumlah RM2,900 sedangkan kerja itu langsung tidak dibuat.

 

Perbuatan itu dilakukan pada 31 Januari 2020 hingga 3 Februari 2020 di PKD Port Dickson.

 

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

 

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd Saad.

 

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Port Dickson setiap bulan.

 

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 28 Julai depan.

 

 

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel