PELBAGAI usaha dibuat kerajaan untuk memperbaiki mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) berpangkalan di Berlin, Jerman.
Sejak CPI diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara dikaji. Dengan penambahan bilangan negara terbabit, prestasi Malaysia selama beberapa tahun terakhir mencatatkan skor cenderung sekitar 45 hingga 50.
Pada 2023, Malaysia mendapat skor 50 mata berada di tempat ke-57 daripada 180 negara, sekali gus skor terbaik sejak 2021. Namun tahukah anda, indeks persepsi rasuah ini sebenarnya tidak mengukur kejadian rasuah dan tidak hanya tertumpu kepada aspek rasuah?
Metodologi bagaimana kedudukan sesebuah negara ditentukan untuk 'penarafan dunia' mungkin mengejutkan ramai kerana ia membabitkan pelbagai faktor lain lebih luas seperti tadbir urus, ketelusan, kebebasan bersuara, akses kepada maklumat awam dan mekanisme kebertanggungjawaban kerajaan.
Secara terperinci, terdapat sembilan sumber data biasa digunakan TI untuk mengira CPI, iaitu Penunjuk Tadbir Urus (WGI) Bank Dunia, Economist Intelligence Unit (EIU) Country Risk Service, Forum Ekonomi Dunia (WEF) Executive Opinion Survey dan Global Insight Business Conditions and Risk Indicators.
Juga Bertelsmann Stiftung Transformation Index (BTI), African Development Bank's Governance Ratings, IMD World Competitiveness Yearbook, PERC Asia Risk Guide dan Varieties of Democracy (V-Dem) Project.
Sumber ini menyediakan data mencerminkan pendapat pakar mengenai persepsi rasuah dalam sektor awam, digabungkan untuk membentuk skor CPI setiap negara.
Bagi tujuan pengumpulan data, TI menggunakan pelbagai sumber mencerminkan persepsi korupsi di sektor awam sesebuah negara. Apa diukur ialah persepsi, bukannya kejadian.
Antara sumber digunakan ialah survey pendapat responden diminta memberikan pandangan mengenai tahap rasuah, laporan penilaian daripada badan antarabangsa dan organisasi menyediakan maklumat mengenai rasuah dan tahap integriti.
Juga laporan institusi penilaian risiko menganalisis data dan maklumat berkaitan rasuah, data daripada sumber maklumat awam seperti media, badan kerajaan serta organisasi lain mendedahkan isu rasuah, selain maklumat daripada pakar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai pengetahuan mengenai rasuah.
Terdapat 11 aspek diambil kira CPI, tetapi rasuah hanya salah satu daripadanya. Aspek lain ialah pengalihan dana awam, hukuman ke atas pegawai menggunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi serta kemampuan kerajaan mengawal rasuah dan menjalankan mekanisme integriti berkesan dalam sektor awam.
Juga birokrasi berlebihan yang boleh meningkatkan peluang untuk rasuah, pelantikan berdasarkan nepotisme berbanding meritokrasi dalam perkhidmatan awam, pendakwaan jenayah berkesan untuk pegawai rasuah, undang-undang mencukupi berkaitan pendedahan kewangan dan pencegahan konflik kepentingan untuk pegawai awam.
Selain itu, perlindungan undang-undang bagi pemberi maklumat, wartawan dan penyiasat apabila melaporkan kes suapan serta rasuah, pengambilalihan negara oleh kepentingan sempit dan akses masyarakat sivil kepada maklumat hal ehwal awam.
Jika diteliti semua aspek itu, indeks ini bukanlah semata-mata mengenai rasuah tetapi mencakupi hal berkaitan tatakelola baik.
Tambahan pula kerangka undang-undang berkaitan antirasuah di negara ini adalah komprehensif yang mencakupi pelbagai aspek bagi menangani jenayah rasuah, bukan saja di peringkat pentadbiran awam, bahkan di peringkat pentadbiran NGO dan korporat.
Perlu dijelaskan, strategi diguna pakai sebelum ini kurang tepat kerana meletakkan tanggungjawab kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.
SPRM sebenarnya sudah melaksanakan tugas dengan baik dan sampai ke tahap maksimum.
Tugas selanjutnya perlu dipikul kementerian dan pelbagai agensi kerajaan, namun usaha meningkatkan skor CPI adalah realistik dan boleh dicapai.
Justeru, usaha ini perlu diteruskan dengan kerjasama semua pihak, sekali gus membolehkan kita mencapai kedudukan 25 terbaik dalam tempoh 10 tahun dalam carta CPI seperti dihasratkan kerajaan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)