KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan program pendidikan bagi mendedahkan amalan rasuah di kalangan pelajar, mahasiswa dan belia.
Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, kerjasama melalui bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM itu penting bagi menerapkan kesedaran budaya membenci rasuah di usia muda.
“Kita harap program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar, mahasiswa dan belia, malah warga kerja juga perlu diberikan penerangan mengenai gejala rasuah ini.
“Kita mahu golongan sasar ini termasuk kakitangan awam dan swasta menjaga tatasusila kerja dengan mengamalkan budaya kerja yang baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas di amanahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Melafaz Ikrar serta Menandatangani Bebas Rasuah (IBR) Wargakerja YBR.
Turut hadir dan menyaksikan majlis lafaz ikrar itu, Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi, PenMas SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Samsul Salip.
Seramai 41 kakitangan termasuk barisan pengurusan kanan YBR hadir pada majlis lafaz ikrar yang diketuai Syaiful Rizal.
Ikrar itu bagi menzahirkan prinsip menolak amalan rasuah dalam organisasi YBR.
Menurut Syaiful Rizal lagi, majlis lafaz ikrar itu merupakan satu permulaan YBR agar warga kerjanya sentiasa berwaspada.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti tidak bermoral melibatkan rasuah wang ringgit, penyalahgunaan kuasa serta pemberian serta penerimaan hadiah.
“Berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi oleh Wiki Impact, YBR telah disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh dalam penilaian yang dijalankan dan kajian ini melibatkan 1,600 yayasan di Malaysia.
Sumber: MalaysiaGazette