Kertas siasatan kes bekas menteri kanan akan dibuka selepas maklumat, dokumen diteliti - Ahmad Khusairi

Tarikh: 13/02/2026
img

GENTING HIGHLANDS: Kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan bekas menteri kanan akan dibuka selepas pegawai penyiasat meneliti maklumat dan dokumen yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pihaknya ketika ini baru sahaja menerima aduan berkenaan dan memerlukan masa untuk membuat semakan terlebih dulu.

"Saya sahkan aduan berkenaan selepas tiga badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke SPRM membuat aduan mengenai perkara itu. Namun setakat ini, saya berharap beri kita masa terlebih dahulu bagi meneliti dokumen yang diserahkan kepada kami, sebelum tindakan seterusnya di buat.

"Sekiranya ada, kita akan siasat mengikut akta yang tertakluk (Akta SPRM 2009)," katanya selepas Majlis Penutup Bengkel Kewartawanan SPRM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Khusairi berkata, pihak akan meneliti setiap sudut siasatan dalam aduan berkenaan.

"Secara asasnya, apabila aduan itu kita sudah terima, kita akan teliti sama ada terdapat apa juga kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa, termasuklah aspek tatakelola itu sendiri," katanya.

Semalam media melaporkan, SPRM sedang meneliti akwaan penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kanan di sebuah kementerian.

Ia selepas laporan itu diterima daripada gabungan beberapa NGO pada kira-kira jam 2 petang hari ini.

Antara langkah susulan yang diambil ialah meneliti dokumen serta bukti dikemukakan sebelum siasatan lanjut diteruskan selaras dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan proses siasatan.


sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel