Kes 1BestariNet: Azam Baki tegaskan SPRM siasat secara profesional, gesa semua pihak jangan spekulasi

Tarikh: 04/11/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung siasatannya terhadap perkhidmatan 1BestariNet bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya menjalankan siasatan secara profesional berhubung pemberian tender bernilai RM4 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit.

Beliau menegaskan, SPRM akan mematuhi semua proses sewajarnya dalam memastikan ketelusan siasatan dan menggesa agar semua pihak mengelak membuat spekulasi.

"Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azam menegaskan, masih terlalu awal untuk SPRM membuat sebarang kesimpulan memandangkan siasatan membabitkan pertikaian teknikal berkait pelaksanaan projek di antara KPM dan YTL.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa SPRM akan berusaha mempercepatkan siasatan sebaik mungkin.

Semalam, YTL dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, memaklumkan tender 1BestariNet diberikan kepada syarikat itu berdasarkan bidaannya yang memenuhi keperluan teknikal dan lebih efektif dari segi kos berbanding 18 pembida lain, sekali gus menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel