Kes 'counter setting': SPRM siasat syarikat milik warga Bangladesh

Tarikh: 26/09/2024
img

BANGI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung 'counter setting' secara asasnya sudah berakhir apabila siasatan ke atas 50 pegawai penguatkuasa sedang disiapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, secara prinsipnya siasatan berhubung kes itu sudah berakhir apabila semua dalang atau anggota penguat kuasa terlibat sudah dirakam percakapan dan siasatan lanjut sedang disiapkan oleh pegawai SPRM.

Beliau berkata, SPRM kini hanya ingin menentukan sama ada akan dilakukan pertuduhan atau tidak.

Namun begitu katanya, satu penyiasatan baharu dilakukan ke atas sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang warga Bangladesh yang beroperasi di negara ini.

"Siasatan melibatkan pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes 'counter setting' sudah selesai dan kita sekarang dalam proses melengkapkan siasatan.

"Namun terbaharu SPRM menyiasat sebuah syarikat milik warga Bangladesh yang kita percayai tidak mematuhi peraturan untuk membawa masuk pekerja ke Malaysia.

"Kita sedang dapatkan bukti-bukti daripada akaun syarikat berkenaan bagi menyemak adakah pembayaran dibuat kepada mana-mana pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.


Sumber: Sinar HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel