Kes dihadapi bekas PTD, isteri ketiga dibicara bersama

Tarikh: 30/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Semua 11 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan jumlah RM2.34 juta yang dihadapi bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhammad Hafizuddeain di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Januari lalu, dipindah dan digabungkan dengan empat lagi pertuduhan di mahkamah terbabit.

Beliau turut memohon lima pertuduhan yang dikenakan terhadap Salwani Anuar di Mahkamah Sesyen 8 Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum ini dipindahkan ke mahkamah sama.

Katanya, permohonan untuk memindahkan kes berkenaan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, Seksyen 165 serta Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah.

"Permohonan ini dibuat kerana kesemua pertuduhan membabitkan saksi dan fakta kes yang sama dan bagi menjimatkan masa mahkamah. Pihak pendakwaan mohon supaya dibicarakan bersama," katanya dalam prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide.

Pihak pembelaan bagi kedua-dua tertuduh iaitu Peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin tidak membantah permohonan itu.

Mahadi turut memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan akan menyerahkan dokumen bagi tujuan perbicaraan kepada pihak pembelaan secara berperingkat.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 18 Mei depan.

Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000; RM474,850; RM488,550; dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Pada hari sama, Salwani turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikatnya.

Keesokannya, Muhammad Hafizuddeain didakwa dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, manakala isterinya itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Kedua-duanya membayar ikat jamin masing-masing RM250,000 dan RM30,000.


Sumber : Beita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel