Kes DNAA Akalbudi: Semakan kehakiman ditangguh, tunggu keputusan rayuan Zahid di Mahkamah Persekutuan

Tarikh: 21/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Prosiding semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar keputusan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Datuk Guok Ngek Seong yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad membuat keputusan itu ketika prosiding berlangsung dalam kamar hari ini.

Beliau berkata, penangguhan itu susulan perkembangan terbaharu di Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes berkenaan.

"Hakim membenarkan permohonan berkenaan susulan perkembangan di Mahkamah Persekutuan. Tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan kerana pihak kami baru sahaja memfailkan notis rayuan 19 Oktober lalu," katanya kepada media selepas prosiding.

Prosiding turut dihadiri peguam, Abhilaash Subramaniam mewakili Badan Peguam Malaysia; Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara serta Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman bagi pihak Ahmad Zahid.

Pada 8 Oktober lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan pendakwaan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam serta memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman, memfailkan permohonan pada 25 Mei lalu untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar turut memfailkan permohonan berasingan bagi tujuan sama.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Badan Peguam Malaysia memohon deklarasi Mahkamah Tinggi bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.

Ahmad Zahid diberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding terhadap beliau bagi meneliti bukti-bukti baharu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel