KUALA LUMPUR: Kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid antara beberapa kes berprofil tinggi yang dijadualkan berlangsung sepanjang minggu depan.
Bagi kes Najib, Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Rabu ini.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan Rabu ini untuk pendengaran pada pengurusan kes yang dihadiri peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Pendengaran itu dipercepatkan selepas pihak pembelaan memfailkan sijil perakuan bagi tujuan berkenaan.
Sementara itu, kes membabitkan Na'imah, balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, berkaitan dua persoalan undang-undang yang dikemukakannya berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta akan didengar pada Khamis ini di Mahkamah Persekutuan.
Pada 29 Februari 2024, Na'imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Tinggi, membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Dalam perkembangan lain, Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi pendengaran permohonan injunksi interim inter partes (antara pihak) terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, dalam saman yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada 19 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan injunksi interim ex parte (sebelah pihak) oleh MCMC bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu, selain mengarahkan penerbitan dan penyebaran kandungan dalam talian yang memudaratkan melalui media sosial dihentikan serta-merta.
Bagi kes jenayah yang mendapat perhatian awam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar hujahan pada akhir kes pembelaan dalam perbicaraan empat lelaki yang didakwa membunuh remaja T Nhaveen, sembilan tahun lalu.
Sebelum ini, keempat-empat tertuduh menafikan dakwaan pendakwaan bahawa mereka menyerang Previin dan Nhaveen, termasuk meneruskan serangan terhadap Nhaveen di Padang Openg, Gelugor.
Mereka juga mendakwa tidak mengetahui bagaimana mangsa mengalami kecederaan yang membawa kepada kematiannya.
Selain itu, Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi prosiding perbicaraan terhadap tujuh individu yang dikaitkan dengan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin.
Pada Oktober 2022, 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan menculik lelaki Palestin yang kini berusia 35 tahun.
Mereka ialah Mohamad Norakmal Hassan, 47; Dody Junaidi, 48; Mohamad Sufian Saly, 29; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 29; Mohd Azwan Jamaludin, 55; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 55; Tengku Arif Bongsu; Mohamad Naziree; Faizull Hardey; Muhammad Iqmal; Nidarahayu; Raibafie; Edy Ko'im; dan Mohd Zaidi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda bagi mendapatkan ganjaran berupa maklumat rahsia berkaitan kaedah membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, di sini, pada 10.40 malam, 28 September 2022.
Bagaimanapun, pada 10 Julai 2025, enam daripada 14 tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.
Sumber : Berita Harian Online