Kes rasuah RM2.8j: Bung Moktar, Zizie Izette tahu nasib 18 November nanti

Tarikh: 09/10/2024
img

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan mengetahui pada 18 November depan sama ada kekal dibebaskan atau perlu membela diri berkait tuduhan rasuah RM2.8 juta.


Tarikh itu ditetapkan Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk membacakan keputusan terhadap rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tahun lalu.


Pada 7 September 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan pasangan itu daripada tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA Berhad (FELCRA) dalam unit amanah Public Mutual Berhad.


Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan, berkata hujahan bertulis pihak pendakwaan sudah mencukupi untuk panel hakim menganalisis dan membuat keputusan.

Turut bersidang, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.


Jika rayuan pendakwaan dibenarkan, Bung Moktar dan Zizie Izette perlu membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Selain itu, Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya yang berjawatan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika kes terbabit.


Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Zizie Izette selaku responden, diwakili peguam, M Athimulan dan Datuk Seri K Kumaraendran, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide.


Terdahulu, Maziah memaklumkan, rakan sejawatnya, Law Chin How yang mengetuai pendakwaan kes itu terpaksa mengambil cuti sakit hari ini.


"Pada hari ini saya berhasrat untuk memohon menangguhkan bicara rayuan ini. Bagaimanapun saya dimaklumkan mahkamah, penangguhan tidak dibenarkan.


"Arahan kepada saya, sekiranya mahkamah ingin meneruskan rayuan pihak perayu (pendakwaan), akan menggunakan sepenuhnya hujahan bertulis yang difailkan pada 20 Jun lalu," kata Maziah.


Terdahulu pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pasangan berkenaan membela diri atas tiga tuduhan rasuah selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.


Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 45, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di ibu negara, antara jam 12.30 tengah hari dan jam 5 petang 12 Jun 2015.


Bung Moktar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.


Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel