PUTRAJAYA: Pagi tadi, Mahkamah Rayuan membatalkan semua rayuan difailkan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Visa Luar Negara (VLN).
Keputusan itu dibuat selepas Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin bahawa pihak pendakwaan mahu menarik balik semua rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum ini melepas dan membebaskan Ahmad Zahid dalam kes itu.
Dengan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kekal lepas dan bebas daripada 40 tuduhan rasuah berkait VLN seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.
Ahmad Zahid sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Ia didakwa bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan AS$15,000 untuk diri sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.
Dalam prosiding hari ini, Yusaini memberitahu Mahkamah Rayuan, keputusan pihak pendakwaan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Tambahnya lagi, pihaknya menarik balik kesemua rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas mempertimbangkan representasi dikemukakan pihak pembelaan dan mengambil kira dapatan-dapatan fakta oleh hakim bicara.
"Setelah meneliti keseluruhan kes ini, AGC mendapati tiada keterangan di dalam kes ini untuk menunjukkan bahawa responden telah menggunakan jawatan beliau secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak yang menjadi subjek dalam perbicaraan ini.
"Keterangan menunjukkan kontrak-kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum responden menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan ini menidakkan kewujudan peluang dan atau ruang untuk responden menyalahgunakan kuasanya," katanya.
Yusaini berkata, keterangan di dalam kes itu menunjukkan proses pelanjutan kontrak-kontrak yang dipertikaikan telah dibuat secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Katanya, lejar yang direkodkan oleh saksi pendakwaan ke-17 (SP17) pula menunjukkan terdapat pelbagai transaksi kewangan melibatkan nama ramai individu dan tiada rekod menunjukkan transaksi-transaksi atau individu-individu terbabit telah disiasat sepanjang kes berlangsung.
"Perkara-perkara yang dinyatakan menunjukkan terdapat kelompangan serius dalam rantaian keterangan kes ini,' katanya menambah Hakim Mahkamah Tinggi juga telah membuat beberapa dapatan fakta di dalam kes itu.
Dapatan fakta itu, antaranya sumber wang yang dikatakan diterima dalam kes berkenaan tidak disiasat dan beberapa individu yang dikatakan menjadi sumber dana dipertikaikan dari luar negara pula tidak dipanggil ketika siasatan mahupun ketika perbicaraan
Selain itu, beliau berkata, tiada sebarang bukti dikemukakan berkenaan proses kemasukan SP15, SP16 dan SP17 ke kediaman-kediaman responden serta tiada keterangan yang menunjukkan wang telah diserahkan oleh saksi-saksi kepada responden.
Antara saksi penting memberi keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.
Pada Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkan beliau membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.