KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kepada pemilik sebuah syarikat direman empat hari sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Permohonan reman itu dibenarkan Majistret M. Mageshwary di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Sumber memberitahu, suspek lelaki berusia 50an ditahan kira-kira 10 malam semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Dalam pada itu, di mahkamah majistret yang sama, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman terhadap seorang lagi suspek wanita yang juga pengarah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini.
Sumber berkata, wanita berkenaan sebelum ini direman selama tiga hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan lanjut dalam isu rasuah perlombongan haram nadir bumi di Kedah.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut direman sebelum ini dalam kes sama telah dibebaskan dengan jamin SPRM pagi tadi selepas selesai disiasat dan dirakam keterangan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009,” tegasnya.
Sumber: MalaysiaGazette