PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah oleh Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris ketika majlis pelancaran jentera PRK Kemaman, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan, SPRM berkata laporan dibuat berdasarkan satu hantaran di TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11, memaparkan ketua Bersatu Terengganu itu mengeluarkan beberapa tuduhan palsu mengaitkan agensi berkenaan.
“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM, dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas menteri belia dan sukan.
“SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak,” katanya. Dalam pada itu, SPRM menggesa tindakan sewajarnya diambil segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah serta tohmahan tersebut.
“SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara,” katanya.
Terdahulu, Razali dalam ceramahnya mendakwa SPRM dikawal kerajaan dengan merujuk kepada kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu berjumlah RM1.12 juta.
Beliau turut membandingkan kes Syed Saddiq dengan kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Sumber: Free Malaysia Today