KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan dana Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) berjumlah lebih RM130,000.
Datuk Hazri Hassan mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.
"Faham, saya tidak mengaku bersalah," katanya.
Bagi tuduhan pertama, Hazri didakwa sebagai Ketua Pengarah JUPEM dan Pengerusi LJT, menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM30,201.16 dan RM105,914 untuk diri sendiri, dengan mengambil bahagian di dalam Mesyuarat Lembaga LJT.
Mesyuarat berkenaan telah membincangkan mengenai penyertaan beliau di dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Globa" di New York, Amerika Syarikat pada 4 hingga 9 Ogos 2024.
Bagi tuduhan kedua, beliau mengambil bahagian dalam Mesyuarat Lembaga LJT yang membincangkan mengenai penyertaannya di dalam"Mesyuarat LJT dan JUPEM bersama Profesor Dr Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse – Naib Presiden dan Pengarah Penasihat & Inovasi Woolpert dan Mesyuarat Plenari ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi bagi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu dan Mesyuarat Biro serta Biro Diperluas Bagi Jawatankuasa Pakar".
Penyertaannya dalam mesyuarat berkenaan adalah di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati, di sini, pada 3 dan Ogos 2024 dan bilik Park View 2, Mandarin Oriental Hotel di sini, pada 31 Disember 2024.
Dengan itu, Hazri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Lagi berita lanjut menyusul.
Sumber : Berita Harian Online