Ketua Pengarah Laut didakwa tipu surat pengecualian minyak gred berat

Tarikh: 02/08/2024
img

SHAH ALAM: Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kapten Mohamad Halim Ahmed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu bekas Ketua Pengarah terdahulu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan bagi membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lalu.


Pertuduhan terhadap Mohamad Halim, 57, dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun. Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan didakwa menipu Ketua Pengarah JLM ketika itu Datuk Baharin Abdul Hamid.


Dia didakwa memperdayakannya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2020 yang menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian untuk membawa ‘heavy grade oil’ di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang diluluskan’ sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.


Perbuatan itu menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia, Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang, di sini pada 27 Oktober 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi mencadangkan jaminan RM50,000 hingga RM70,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Peguam Farhan Read yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan dengan mengambil kira anak guamnya adalah Ketua Pengarah JLM dan tiada risiko melarikan diri.


“Pada kebiasaannya bagi kes-kes SPRM, jumlah jaminan ditawarkan merujuk kepada jumlah kerugian dialami pengadu. “Bagaimanapun, dalam kes ini tiada dinyatakan kerugian, jadi apakah dasar jaminan RM50,000 hingga RM70,000? Kes ini adalah kesalahan boleh dijamin, kami mencadangkan jaminan RM10,000,” katanya.


Sementara itu, Mohamad Halim kemudian menegaskan dia adalah pemegang pasport rasmi kerajaan dan bukan pasport biasa. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan selain melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan.


Sumber: Buletin TV3

MACC FM
My Anti-Corruption Channel