Ketua Polis Negeri Sembilan nafi pegawai ditahan SPRM

Tarikh: 12/09/2024
img

SEREMBAN - Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menafikan dakwaan tular berhubung seorang pegawainya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Isnin.

Katanya, ia adalah berita palsu yang disebarkan melalui media sosial.

"Cerita tak betul. Itu komen saya, banyak lagi cerita-cerita tak betul di Medsos (media sosial), bukan hanya cerita ini sahaja," katanya ringkas ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini tular di aplikasi Telegram mengenai dakwaan seorang pegawai polis di Negeri Sembilan ditangkap SPRM semalam dan wang tunai lebih RM4 juta dijumpai.

"Kemungkinan besar Ketua Polis Negeri Sembilan dan beberapa Ketua Polis Daerah di Negeri Sembilan bakal ditangkap juga," kata dakwaan tular itu.

Sementara itu, jurucakap SPRM memaklumkan setakat ini Pengarah SPRM Negeri Sembilan tidak dapat mengesahkan kes tersebut.

"Pengarah SPRM Negeri Sembilan setakat ini tidak dapat mengesahkan jika ada sebarang tangkapan ke atas individu yang dimaksudkan.

"SPRM Negeri Sembilan juga tiada maklumat sekiranya terdapat tangkapan ke atas individu terbabit oleh ibu pejabat SPRM atau negeri lain," katanya.

Sumber: Sinar HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel