'Kita buka 25 jam sehari, SPRM bebas siasat'

Tarikh: 29/03/2023
img

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas melakukan siasatan tanpa sekatan berkenaan kes rasuah membabitkan agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, di bawah Kerajaan Perpaduan seawal hari pertama Perdana Menteri memegang jawatan itu, tiga perkara ditekankan iaitu penstrukturan ekonomi, jaminan keadilan sosial dan tatakelola govenan.


"Kita (KDN) buka 25 jam sehari dan itulah komitmen dan keterbukaan bahawa usaha untuk atasi masalah rasuah ini harus berlaku dari atas hingga ke peringkat bawah.


"Jadi dengan cara menghormati dan iktiraf peranan agensi penguat kuasa seperti SPRM, itulah pendirian saya sepanjang terajui KDN," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.


Beliau berkata, jika masyarakat ada bukti dan alasan untuk mengaitkannya, proses tepat adalah membuat laporan kepada SPRM.


Kata Saifuddin, komitmennya adalah 25 jam sehari agar SPRM melakukan tugasan tanpa sebarang kacau ganggu mahu pun sekatan di peringkatnya.


Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.


Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.


Tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.


Kenyataan itu turut menyebut bahawa tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.


Sumber : Sinar Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel