Kontraktor mengaku beri rasuah pegawai PBT

Tarikh: 15/08/2024
img

Johor Bahru: Kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu.

Tertuduh, Wai Chong Yow, 45, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu memberi suapan wang tunai RM500 kepada pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kilangnya yang beroperasi tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Perindustrian JB Perdana, di sini, pada 11.30 pagi 24 Oktober 2023.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Sze Han memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri serta dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Ogos ini.


Sumber: Harian Metro 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel