JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan setuju menerima suapan bernilai RM3,000 daripada seorang wanita, dua tahun lalu.
Hazizan Zainuddin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N Kanageswari.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak sebagai seorang penjawat awam didakwa bersetuju menerima benda berharga iaitu wang tunai masing-masing bernilai RM2,400, RM550 dan RM50 tanpa balasan daripada seorang wanita berusia 47 tahun.
Transaksi itu didakwa dibuat melalui akaun sebuah bank milik seorang lelaki berusia 38 tahun ke akaun bank milik tertuduh yang mana tertuduh mengetahui bahawa transaksi wang bernilai keseluruhan RM3,000 itu mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau, iaitu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lagi lelaki berusia 44 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Cawangan Labis, Taman Orkid Baru, Labis, Segamat, pada 30 Oktober 2024.
Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan. Difahamkan, tertuduh sudah membayar wang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sumber : Berita Harian Online