Kuasa Datuk Bandar KL terlalu luas, tak berubah sejak 6 dekad

Tarikh: 09/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Teguran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi cadangan 20 langkah penambahbaikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, menunjukkan kuasa eksekutif Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah terlalu besar dan tidak berubah sejak Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dikuatkuasakan enam dekad lalu.

Walaupun Akta 190 sudah melalui beberapa pindaan, namun tiada entiti atau pihak tertentu yang dilantik mampu mengehadkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur. Malah, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan juga difahamkan hanya mempunyai kuasa terhad terhadap pelaksanaan dasar sahaja.

Ini membuktikan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai seorang individu mampu memainkan peranan muktamad dan berfungsi sebagai pihak utama dalam menentukan keputusan pembangunan ibu negara, termasuk penyaluran dana untuk tujuan tertentu.

Pada masa ini, tiada ahli majlis dilantik seperti mana pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara, yang boleh menasihati dan keputusan dirunding kira-kira 15 ahli lembaga penasihat bandar raya yang dilantik juga tidak mengikat Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Situasi itu dilihat bukan sahaja membebankan pembangunan ibu negara, malah keputusan berisiko tinggi boleh dimanipulasi, termasuk oleh pemaju yang sentiasa mencari peluang untuk mengaut keuntungan.

Selain itu, individu yang dilantik juga boleh memanipulasi kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terlalu luas untuk mendapatkan manfaat daripada pengurusan wang dan dana awam milik DBKL.

Sebagai contoh, dalam kes dakwaan salah laku seorang ahli Lembaga Penasihat DBKL yang dikait dengan pemberian projek bernilai RM4 juta tahun lalu, Peraturan dan Perintah Tetap DBKL diguna secara berleluasa.

Antaranya adalah Perintah Datuk Bandar 6/2020 yang menetapkan prosedur tertentu dalam pentadbiran; manakala Perkara 21, Perintah Tetap Pengurusan Perolehan dan Pentadbiran Kontrak Datuk Bandar Kuala Lumpur Tahun 2020, menetapkan klausa berkaitan proses perolehan, pelantikan kontraktor serta pengurusan kontrak termasuk kelulusan, pemantauan, dan kawalan pelaksanaan kontrak.

Kes ini menunjukkan kuasa eksekutif Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah terlalu luas dan berkuasa, berdasarkan peraturan dan Perintah Tetap yang diguna pakai DBKL.

Kuasa tidak ada LOA

BH turut mendapati, kuasa Datuk Bandar KL tidak mempunyai 'Limits of Authority' (LOA) yang jelas dalam pemberian sumbangan, bermaksud beliau boleh memberi sumbangan dalam jumlah maksimum tidak terbatas.

Untuk rekod, DBKL ketika ini mempunyai peruntukan belanjawan kedua tertinggi di Malaysia, hampir RM3 bilion dalam usaha meletakkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Elit Dunia dalam tempoh lima tahun.

Mengulas perkara ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya membuat semakan dan siasatan terhadap isu berkenaan menerusi Seksyen 7(c)(d)(e) Akta SPRM 2009 dan mendapati ada beberapa kelemahan dalam DBKL yang perlu diperbaiki.

Katanya, antara yang dikesan oleh SPRM ialah bidang kuasa eksekutif Datuk Bandar Kuala Lumpur yang begitu luas dan memberi kuasa tidak terbatas untuk beliau membuat keputusan tertentu.

"Dalam siasatan tatakelola ini, ada tiga perkara disemak, iaitu Projek Penerbitan dan Kandungan Audio (Bahan Kreatif) DBKL; kaedah Sumbangan Datuk Bandar kepada Kelab Sukan dan Kebajikan Yayasan Wilayah Persekutuan (KSKYWP), arahan, prosedur kerja serta sistem Kaedah Sumbangan Datuk Bandar.

"Ketiga-tiganya menunjukkan batas kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur terlalu luas, sekali gus membuka ruang kepada risiko rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan," katanya kepada BH.

Azmi menambah, kelemahan dan cadangan terbabit dibentang Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola F, Zulhairy Zaidel, kepada barisan pengurusan tertinggi DBKL di Menara DBKL pada 29 Januari lalu. Ia turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Sementara itu, bekas Menteri Kabinet yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kuasa Datuk Bandar KL adalah berbeza berbanding Datuk Bandar di negeri lain kerana ia dilihat tidak terbatas.

"Berbanding dengan PBT lain yang mempunyai sistem ahli majlis dan wakil rakyat untuk mempengaruhi keputusan, DBKL walaupun mempunyai Lembaga Penasihat dengan wakil daripada badan profesional dan parti pemerintah, ia tidak mengikat dan kuasanya terhad.

"Kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur terlalu besar dan boleh memberi kesan kepada pembangunan di ibu negara sekiranya tidak ditadbir dengan baik," katanya.

Beliau menambah, DBKL juga pernah menghadapi isu penukaran status tanah sehingga tanah terbabit dijual kepada pemaju tertentu, serta pembangunan yang sepatutnya tidak berlaku.

"Terdapat kebimbangan mengenai hubungan Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan pemaju tertentu dan kesannya terhadap keputusan pembangunan. Maka, teguran keras serta mekanisme semak dan imbang seperti kewujudan ahli majlis amat perlu. Akta Ibu Kota juga terlalu lama dan memerlukan penambahbaikan," katanya.


Sumber : Beritaq  Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel