Lans Koperal, mekanik mulakan hukuman penjara terima rasuah daripada pasangan berkelakuan sumbang

Tarikh: 09/10/2024
img

PUTRAJAYA: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang mekanik mula menjalani hukuman penjara hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan ke atas mereka kerana menerima rasuah RM300 daripada pasangan yang didapati berkelakuan sumbang dalam sebuah kereta, 10 tahun lalu.


Muhamad Faisal Ahmad Gapur, 39, akan menjalani hukuman penjara dua tahun, manakala Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 33, pula dipenjara setahun.


Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin juga mengekalkan denda RM10,000 dengan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen ke atas kedua-dua tertuduh.


Mahkamah Rayuan kemudiannya mengeluarkan waran komital untuk kedua-dua tertuduh mula dipenjara hari ini. Mereka sebelum ini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuan.


Dalam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman, Hakim Ahmad Zaidi berkata terdapat keterangan yang kukuh untuk membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Beliau berkata tiada percanggahan ketara dalam keterangan tiga saksi pendakwaan yang boleh menjejaskan kes pendakwaan.


Hakim Ahmad Zaidi berkata mahkamah juga mendapati hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Sesyen adalah tidak keterlaluan.


Beliau berkata Mahkamah Sesyen tidak silap dalam mengenakan hukuman berbeza kerana Faisal adalah penjawat awam manakala Azizul tidak.


Pada 10 Jun 2022, kedua-dua tertuduh didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan tersebut yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Taman Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar, Perak pada jam 7.10 malam 20 Mac 2014.


Wang tersebut diberikan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pasangan itu yang didakwa berkelakuan sumbang di dalam kereta.


Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka pada 26 September 2023 menyebabkan mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.


Peguam Chris Kooi Wei Kit mewakili Faisal manakala peguam M Saravanan mewakili Azizul. Timbalan Pendakwa Raya dalam kes ini ialah Farah Ezlin Yusop Khan, Mohd 'Afif Ali, Wirna Rifin@Arifin dan Nurul Qistini Kamarul Abrar. 


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel