Laporan mengelirukan jejas keyakinan awam - SPRM

Tarikh: 11/02/2026
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan laporan Bloomberg yang mengelirukan dan tidak berasas membabitkan ketua pesuruhjayanya boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.

SPRM dalam kenyataan menolak laporan itu sebagai mengelirukan dan tidak berasas.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya memandang serius laporan itu, sambil menegaskan ia bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai terbabit, malah mengaitkan SPRM secara tidak adil dengan dakwaan salah laku.

"Sebarang gambaran yang menggambarkan kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak tepat dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap integriti serta rangka kerja tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu.

SPRM berkata pengisytiharan aset oleh pegawai awam tertakluk kepada prosedur pentadbiran dan tadbir urus yang telah ditetapkan di bawah kerangka perkhidmatan awam, serta dikemukakan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, Ketua Pesuruhjaya telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan yang dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

SPRM berkata pengisytiharan berkenaan merangkumi sumber pendapatan serta perolehan dan pelupusan aset, termasuk pegangan saham.

Katanya sebarang dakwaan yang membayangkan ketidakpatuhan adalah tidak tepat dan mencerminkan gambaran tidak adil terhadap SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang diamanahkan untuk memelihara integriti dan ketelusan.

"Laporan sedemikian secara tidak wajar mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap Suruhanjaya," katanya.

SPRM menegaskan semula komitmennya untuk menegakkan kepercayaan, integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas berkanunnya.

"SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti serta keyakinan awam melalui laporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa pegangan saham beliau sebelum ini dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dilaksanakan secara telus dan mengikut peraturan.

Azam memberitahu New Straits Times bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung saham bernilai RM800,000 itu, sambil menegaskan transaksi berkenaan telah diisytiharkan dengan sewajarnya.

Beliau menjelaskan saham itu dibeli tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Azam menyifatkan laporan yang mempersoalkan transaksi berkenaan sebagai berniat jahat dan mengelirukan, dan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana dakwaan itu bersifat memfitnah.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel