Laporan RCI TH: SPRM perlu diberi ruang lengkapkan siasatan dakwaan salah laku, penyelewengan

Tarikh: 30/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang sewajarnya untuk meneruskan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi melengkapkan siasatan terhadap beberapa dakwaan salah laku dan penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang didedahkan, semalam.

Menurut laporan itu, SPRM masih menjalankan siasatan terhadap beberapa laporan yang dikemukakan susulan siasatan dalaman TH, selain perbincangan serta konsultasi antara kedua-dua pihak juga masih diteruskan.

Katanya, antara dakwaan yang dirujuk kepada SPRM ialah dakwaan rasuah dalam pembelian Ladang Weida Bhd oleh TH Plantation, selain dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan Restoran Opah di KL Sentral serta Restoran Nasi Dalca di Bangunan Ibu Pejabat TH.

Turut disiasat ialah dakwaan penyelewengan dan rasuah membabitkan bekas Ketua Pegawai Operasi TH berkaitan kerja pengubahsuaian; dakwaan pemalsuan dokumen pembekalan 'rubber seedlings' TH Plantation di Ladang TH-Usia Jatimas di Sandakan; serta dakwaan salah laku dan penyelewengan pegawai THP Bina Sdn Bhd dan THP Timur Sdn Bhd.

Menurut laporan itu, RCI menegaskan SPRM wajar diberi ruang sepenuhnya untuk meneruskan siasatan dan mengambil apa juga tindakan yang difikirkan perlu selaras bidang kuasa serta peruntukan undang-undang sedia ada sehingga siasatan diselesaikan.

"Suruhanjaya difahamkan bahawa pihak SPRM masih lagi menjalankan siasatan bagi dakwaan terbabit.

"Perbincangan dan konsultasi antara TH dengan SPRM juga masih berterusan.

"Sehubungan itu, RCI berpendirian bahawa SPRM harus diberi ruang sewajarnya untuk meneruskan apa jua tindakan dalam ruang lingkup undang-undang sedia ada bagi melengkapkan siasatan mereka," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel