Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM15,000 berhubung tuntutan bayaran kerja penarikan kabel projek Petronas Rapid di Johor, tujuh tahun lalu.
Mohamed Huzaini Mohamed Hussein, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM15,000 melalui akaun bank miliknya daripada seorang pengarah syarikat P&G Energy Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk melicinkan proses tuntutan bayaran bagi kerja-kerja penarikan kabel projek Petronas Rapid di Pengerang, Johor.
Kesalahan didakwa dilakukan di Metropolitan Square, Petaling Jaya di sini pada 17 Ogos 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Irna Julieza Maaras.
Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM di sini.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Oktober depan.
Sumber: Harian Metro