Kuala Lumpur: Penguat kuasa seolah-olah dilihat bermain wayang dan tidak bersungguh dalam mengambil tindakan terhadap premis perniagaan yang dijalankan warga asing.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada Harian Metro, risikan dijalankan suruhanjaya itu selama lebih enam bulan mendapati pelbagai kegiatan haram di bandar-bandar besar ini turut dilindungi oleh pihak berkuasa.
SPRM menegaskan, ia turut membabitkan perniagaan berskala kecil seperti lesen penjaja dan kedai yang kini dimonopoli oleh warga asing.
Malah menerusi risikan dijalankan itu juga, SPRM mendapati ada pemilik lesen warga tempatan yang menyewakan tapak dan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.
Mengulas lanjut isu itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, penguat kuasa ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan 'lesen Ali Baba' ini.
Menurutnya, mengambil contoh Pasar Kuala Lumpur, biarpun tindakan penguatkuasaan dibuat beberapa kali, namun warga asing tetap memonopoli kawasan terbabit.
"Semuanya kerana ada tangan-tangan ghaib yang melindungi dan membocorkan maklumat operasi kepada mereka.
"SPRM menjalankan risikan sulit bagi mendedahkan pembabitan penguat kuasa dalam melindungi aktiviti penjaja haram ini di sekitar ibu negara.
"Pendedahan mengenai isu pemberian dan penerimaan rasuah membabitkan pemilik premis kepada penguat kuasa ini akan dibuat menerusi dua operasi khas di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada Harian Metro.
Ahmad Khusairi berkata, operasi ini akan menjadi kajian kes untuk membuktikan kepada pihak bertanggungjawab bahawa wujud amalan rasuah dan perlindungan dalam aktiviti peniaga haram ini.
Katanya, SPRM mempunyai kekuatan dan bajet yang terhad untuk memantau dan bertindak ke atas aktiviti haram yang berlaku.
"Namun, diharapkan melalui pendedahan seumpama ini, pihak berkuasa khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil langkah drastik dan serius dalam membendung aktiviti-aktiviti penjaja yang dikuasai oleh warga asing di bandar-bandar utama.
"SPRM dijangkakan akan menahan berbelas orang termasuk warga asing, pemegang lesen warga tempatan dan anggota-anggota penguat kuasa yang terbabit dalam kegiatan melindungi aktiviti ini," katanya.
Sumber: Harian Metro