KUALA LUMPUR: Lima prosiding berprofil tinggi dijadual berlangsung sepanjang minggu ini, antaranya membabitkan bekas perdana menteri, isteri orang kenamaan, Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan seorang penganggur didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Esok akan bersambung perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada Mei 2022, SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd memfailkan saman sivil RM42 juta terhadap Najib yang merupakan satu-satunya defendan.
Saman itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International.
Pada Rabu ini, sebutan semula kes membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta.
Kes itu akan disebut Selasa ini di Mahkamah Tinggi.
Pada Rabu ini juga, Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan penangguhan prosiding membabitkan isteri kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Na'imah,68, untuk menyemak keputusan Mahkamah seksyen, yang menolak permohonannya bagi merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung kes gagal mengisytiharkan asset.
Mengikut pertuduhan, Na'imah didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar oleh seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 November 2023, namun pada 13 Disember tahun sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, beliau didakwa tidak mengisytiharkan sejumlah aset.
Aset terbabit termasuk dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kereta Mercedes-Benz, lapan hartanah merangkumi Menara Ilham, sebuah kediaman di Bukit Tunku, beberapa bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantonment Road (Pulau Pinang) serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail.
Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan bersambung semula Rabu ini, selepas berehat sehingga Selasa.
Ketika ini, masih ramai saksi belum memberi keterangan, selain kemungkinan ada saksi tambahan yang akan dipanggil oleh peguam pihak berkepentingan.
Setakat ini, lapan daripada 35 saksi kanak-kanak sudah dipanggi memberi keterangan
Pada Khamis ini, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan tarikh sebutan semula kes membabitkan seorang penganggur yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak lapan tahun lalu.
Tertuduh, Lee Thiam Poh, 50, didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Jackie' di daerah itu antara 1 Januari 2017 hingga 28 Novemveer 2019.
Sumber: Berita Harian