Lukisan Claude Monet dikaitkan kes 1MDB dijual 25.22 juta euro

Tarikh: 01/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Sebuah lukisan tokoh seni utama Perancis, Claude Monet, yang dikaitkan dengan penyelewengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjual pada harga 25.22 juta euro (kira-kira RM128.66 juta).

BH difahamkan, karya siri Monet yang terjual itu tidak berpeluang untuk dibawa ke Malaysia kerana sudah dibeli entiti tertentu pada harga tinggi.

Sumber berkata, karya terbabit berkemungkinan adalah siri Water Lilies yang bertajuk Nymphéas avec Reflets de Hautes Herbes yang sebelum ini pernah dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Julai 2016.

BH masih mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penjualan karya berkenaan pada nilai tinggi, namun tidak mengesahkan karya yang mana satu.

Beliau berkata, SPRM bertanggungjawab memulihkan dana hasil penjualan karya seni bermutu tinggi itu dan pihaknya kini sudah mengesan karya terbabit serta jumlah dana yang akan dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.

"Ia adalah karya Monet dan hasil jualan berkenaan disimpan oleh firma peguam terkenal di Perancis iaitu Archipel," katanya kepada BH.

BH difahamkan, penjualan karya terbabit adalah di bawah arahan DOJ dan diuruskan sewaktu prosiding kehakiman di Switzerland.

Claude Monet adalah pelukis Perancis yang menjadi tokoh utama aliran Impresionisme atau gaya seni yang menekankan kesan cahaya, warna, dan suasana.

Karya beliau mendapat permintaan tinggi daripada pengumpul karya seni dunia dan ia boleh mencecah AS$100 juta hingga AS$150 juta (sekitar RM470 juta hingga RM700 juta) untuk karya ikonik seperti Water Lilies, malah banyak karya Monet dijual sekitar AS$50 juta hingga AS$80 juta (RM230 juta – RM380 juta).

Nilai pelaburannya boleh dianggap aset 'safe haven' kerana nilainya yang stabil dan tidak jatuh walaupun dalam keadaan krisis ekonomi.

12 karya dituntut kerajaan Malaysia

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 karya dituntut kerajaan Malaysia kerana mempunyai kaitan dalam penyelewengan 1MDB, termasuklah empat yang kini dalam perjalanan ke Malaysia serta satu karya dipercayai nukilan Pablo Picasso masih berada di Switzerland.

Enam lagi maha karya pelukis terkenal dunia yang pernah dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, masih di bawah jagaan rumah lelong terkenal Christie's dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di AS.

BH semalam melaporkan, empat lukisan berkualiti tinggi, termasuk karya pelukis tersohor dunia, Pablo Picasso yang sebelum ini dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB, dalam perjalanan semula ke Malaysia dan dijangka tiba sekitar dua minggu lagi.

Lukisan itu adalah L'Ecuyère et les clowns (Pablo Picasso) yang bernilai AS$26,250; Etude pour femme couchée (Balthus, 1948) (AS$28,125); Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, rue St Vincent, Montmartre (Maurice Utrillo, 1934) (AS$50,000); dan Composition (Joan Miró, 1953) (AS$93,750).

Disember lalu, BH secara eksklusif melaporkan 12 lukisan berkualiti tinggi dan maha karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai sekitar AS$30 juta (kira-kira RM140 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara (BSN) untuk tatapan umum sejurus ia tiba di negara ini.

Difahamkan, lukisan itu mungkin dipamerkan kepada orang ramai sebagai inspirasi penting dalam kejayaan operasi penguatkuasaan negara, sebelum tindakan seterusnya dilakukan, termasuk lelongan bagi mengembalikan semula dana kepada kerajaan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel