KUALA LUMPUR: Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sudah membekukan sejumlah RM4.3 bilion dan menyita RM1 bilion susulan siri siasatan kes jenayah 'mafia korporat', antara akhir 2022 hingga September lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan AMLA turut melucut hak RM48.3 juta dan mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion bagi kes sama dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak memperincikan sama ada ia membabitkan aset, wang tunai, ekuiti atau simpanan dalam mana-mana akaun membabitkan pesalah jenayah 'mafia korporat' yang dikenakan tindakan.
Beliau memaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dana bernilai RM37.53 bilion membabitkan kes sama, namun tidak memperincikan tempoh rampasan itu dibuat.
"Dalam konteks ini (rampasan oleh BNM dan SPRM), sebahagian daripadanya iaitu RM28 bilion, membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hutangnya.
"Sejumlah RM28 bilion daripada RM37.53 bilion ini untuk menyelesai atau melangsaikan hutang 1MDB," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Berita lanjut menyusul
Sumber : Berita Harian Online