Mafia korporat: Siasatan PDRM sahkan tiada penglibatan SPRM - Mohd Khalid

Tarikh: 10/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini tiada penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung 'mafia korporat' yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Victor Chin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan berhubung kewujudan 'mafia korporat' masih diteruskan dan beberapa individu sudah dikenal pasti termasuk berada di luar negara.

"Pada peringkat awal hingga hari ini, tidak ada lagi penglibatan daripada SPRM.

"Siasatan masih lagi dijalankan dan individu-individu telah dikenal pasti... ada yang berada di luar negara dan juga di dalam negara," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dakwaan mengenai gerakan korporat membabitkan SPRM mula timbul menerusi laporan Bloomberg pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan gesaan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

Laporan itu mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif menjual saham dalam syarikat sasaran, seterusnya memaksa pengambilalihan.

Kabinet kemudian mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan menyeluruh tanpa mengehadkan skop kepada individu yang sedang disiasat ketika ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata siasatan berhubung kewujudan 'mafia korporat' masih diteruskan pihaknya dengan beberapa individu sudah dikenal pasti termasuk yang berada di luar negara.

"Siasatan masih dijalankan dan individu-individu telah dikenal pasti... ada yang berada di luar negara dan juga di dalam negara.

"Arahan diterima adalah untuk meneruskan siasatan terhadap dakwaan mafia korporat ini. Ada beberapa individu yang perlu kita panggil bagi membantu siasatan," katanya.

Perlu kerjasama siasat individu di luar negara

Mengulas lanjut, katanya siasatan membabitkan individu yang berada di luar negara memerlukan kerjasama antara kerajaan serta agensi berkaitan.

"Bila melibatkan negara asing, ia memerlukan kerjasama antara 'G2G' (kerajaan dengan kerajaan) serta antara agensi.

"Kita akan jalankan siasatan lanjut mengikut prosedur sedia ada," katanya.

Pada 30 Mac lalu, polis mengesahkan Chin antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Viking.

Ketua Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata Chin ditahan pada Disember tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis, namun boleh dipanggil semula jika perlu.

Beliau berkata kes itu membabitkan beberapa individu yang disyaki melakukan kesalahan pengubahan wang haram melalui pelbagai kaedah, termasuk pemerolehan atau pemilikan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia serta syarikat persendirian.

Operasi itu turut menyaksikan pembekuan dan rampasan pelbagai aset, termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 saham dalam dua syarikat sendirian berhad, akaun CDS berjumlah RM323,588,293, akaun dagangan bernilai RM64,246,417 serta 404 akaun bank membabitkan RM85,624,528.

Pada 16 Mac pula, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat yang dikaitkan dengan SPRM.

Terbaharu, Chin mendedahkan beliau telah memfailkan saman terhadap kumpulan yang didakwanya sebagai 'mafia korporat'.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel